Followers

Tuesday, January 15, 2013

Unit Amanah Saham


1. Apakah itu Dana Unit Amanah (Unit Trust)?
Unit amanah ialah sesuatu alat pelaburan di mana modal para pelabur dikumpulkan ke dalam satu dana untuk diuruskan oleh sekumpulan pengurus dana profesional. 
Dana berkenaan akan dilaburkan di dalam pelbagai portfolio ekuiti, sekuriti pendapatan tetap dan asset-aset lain yang dibenarkan oleh surat ikatan di samping 
Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Dana Unit Amanah. 
Unit amanah adalah diwujudkan bagi melindungi kepentingan para pelabur dimana ia adalah tidak sama seperti pelaburan saham atau komoditi yang berisiko tinggi.
Pelaburan Unit Amanah merupakan salah satu cara yang baik dan ideal untuk memdapatkan pulangan yang baik dalam jangka sederhana dan panjang jika dibandingkan dengan simpanan tunai/ simpanan tetap (fixed deposit) dalam bank. 
Di samping itu, risikonya juga jauh lebih kurang daripada terus melabur dalam saham di mana keuntungan hanya boleh diperoleh melalui pemilihan kepelbagaian portfolio yang terbaik.

2.  Bagaimanakah Unit Amanah berfungsi?
Unit amanah melibatkan 3 pihak iaitu:
i) Pemegang unit/ Pelabur
ii) Pemegang Amanah (sebagai badan bebas dan penjaga aset)
iii) Syarikat Pengurusan (menyediakan kepakaran teknikal dalam pengurusan dana)

Operasi skim unit amanah ditadbir urus bawah dokumen hitam putih yang dikenali sebagai Surat Ikatan. 
Ia menerangkan hak dan tanggungjawab Pengurs dan Pemagang Amanah serta hak Pemegang Unit. 
Selain itu, ia juga dinyatakan secara terperinci berkenaan operasi unit amanah dan kadar bayaran yuran.

3. Siapakah yang layak melabur dalam Unit Amanah?
Pada umumnya, unit amanah sesuai dilabur oleh segenap lapisan masyarakat dimana mereka tidak mempunyai masa atau peluang untuk melabur dan memantau prestasi pelaburan secara kerap dan tetap. 
Dengan melalui pelaburan dana yang disediakan, mereka mempunyai pilihan berkenaan dengan jenis pelaburan yang lebih meluas dan pengurusan dana yang lebih selamat oleh para pengurus professional.

4. Apakah kebaikan dalam pelaburan Unit Amanah?
Kebaikan dalam pelaburan Unit Amanah terdiri daripada:
i) Diversifikasi – pembahagian risiko melalui pelaburan dalam pelbagai jenis saham dalam pelbagai sektor. 
Kebiasaannya, anda perlu mempunyai modal yang banyak untuk membuat diversifikasi pelaburan secara sekata. 
Pelabur berpeluang melabur secara pool dalam pelaburan saham atau peralatan pelaburan yang lain (Tidak meletakkan semua telur dalam 1 bakul!)
ii) Pengurusan Dana secara Profesional - kemampuan anda untuk menggunakan sekumpulan pekerja yang mahir, profesional dalaman di mana mereka biasa menjalankan penyelidikan pelaburan dan menganalisis pengurusan dana. 
Dengan adanya pakar pelaburan, kemudahan penyelidikan dan jaringan maklumat, keputusan pelaburan yang tepat akan dilaksanakan.
iii) Kecairan - anda boleh menjual balik semua atau sebahagian unit amanah yang dibeli pada mana-mana hari bekerja.
iv) Kebebasan - ia tidak menjadi masalah bagi anda dalam pengambilan keputusan yang sukar dan pengurusan yang rumit dalam penjualan pelaburan dalam pasaran saham.
v) Keupayaan - anda hanya memerlukan sedikit duit untuk melabur dalam amanah saham dan menikmati keuntungan seperti melabur dalam saham yang berharga tinggi. 
Dalam masa yang sama, anda juga boleh mendapat pulangan yang lebih baik hasil daripada pelaburan secara diversifikasi.

5. Perbandingan antara Unit Amanah, Pelaburan Terus Dalam Pasaran Saham dan Simpanan Tetap
Seseorang pelabur tidak akan dapat melakukan diversifikasi dalam pasaran saham kecuali dia memiliki duit yang banyak. 
Kerugian satu atau dua saham akan merendahkan pulangan pelaburannya. 
Manakala bagi unit amanah saham pula, ia mempunyai portfolio yang pelbagai di mana jika terdapat kerugian bagi satu saham, ia akan diimbangkan dengan keuntungan bagi saham yang lain. 
Harga unit amanah saham akan naik kebiasaannya apabila sebahagian daripada saham pelaburannya naik harga kerana harga unit amanah adalah berdasarkan nilai bagi keseluruhan portfolio.
Bagi simpanan tetap pula, ia lebih selamat dan pulangannya adalah tetap tetapi pulangannya adalah rendah dan mungkin lebih rendah daripada kadar inflasi. 
Namun, unit amanah biasanya akan mencapai pulangan yang lebih tinggi daripada simpanan tetap dan unit amanah pula berisiko untuk mengalami kerugian.

6. Siapakah yang menetapkan perundangan dalam Skim Unit Amanah Di Malaysia?
Suruhanjaya Sekuriti (SC) merupakan badan kerajaan yang utama dalam penubuhan dan pengoperasian unit amanah di Malaysia. 
Ini memerlukan Pengurus dan Trustee mengurus dana mengikut panduan yang telah ditetapkan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. 
Anda boleh meminta senaskah prospektus bagi agensi pelaburan dari pejabat berhampiran.

No comments: